MASALAH PEMBELAJARAN
PENGENALAN
Tumpuan ialah kepada definisi dan sebab-sebab berlakunya
masalah pembelajaran. Juga dibincangkan ialah ciri-ciri dan kaedah
mengenalpasti pelajar bermasalah pembelajaran. Akhirnya, tumpuan ialah kepada
cara menempatkan pelajar-pelajar ini dan kaedah pengajaran yang sesuai bagi
mereka.
DEFINISI MASALAH PEMBELAJARAN
Masalah pembelajaran didefinisikan sebagai masalah dalam
satu atau lebih daripada proses asas psikologi melibatkan pemahaman atau
penggunaan bahasa sama ada pertuturan atau penulisan di mana masalah yang
dihadapi mengakibatkan kebolehan mendengar, berfikr, bertutur dan membaca yang
tidak sempurna. Ini tidak termasuk mereka yang bermasalah pembelajaran akibat
daripada ketidakupayaan penglihatan, pendengaran dan motor, kerencatan akal,
gangguan emosi atau kekurangan dalam persekitaran, budaya atau ekonomi.
The National Joint Committee on Learning Disabilities
(NJCLD), 1990
Mentakrifkan masalah pembelajaran sebagai merujuk kepada
satu kumpulan masalah yang pelbagai yang mengakibatkan kesukaran yang nyata
mendengar, bertutur, membaca, menulis, membuat keputusan atau menyelesai
masalah matematik. Masalah ini berpunca daripada ketidakfungsian sistem saraf
pusat dan boleh berlaku pada bila-bila tahap umur. Masalah mengawal tingkah
laku, persepsi dan interaksi sosial mungkin wujud bersama masalah pembelajaran
tetapi ia sendiri tidak akan menyebabkan kepada berlakunya masalah
pembelajaran. Masalah pembelajaran mungkin wujud seiring dengan ketidakupayaan
lain seperti masalah sensori, kerencatan mental atau gangguan emosi.
Secara kesimpulannya, pelajar bermasalah pembelajaran
terdiri daripada mereka yang kurang kemampuan belajar disebabkan oleh masalah
pemahaman, pertuturan, penulisan dan penyelesaian masalah matematik. Ini tidak
termasuk masalah pembelajaran disebabkan oleh kerencatan mental, kurang upaya
penglihatan, pendengaran, gangguan emosi dan tingkah laku.
SEBAB-SEBAB MASALAH PEMBELAJARAN
Kecederaan Otak
Kecederaan otak boleh berlaku sebelum kelahiran bayi di mana
ibu yang mengandung mengambil alkohol atau dadah, dijangkiti demam campak atau
merokok. Kecederaan otak juga boleh berlaku semasa kelahiran seperti bayi
kekurangan oksigen. Selepas kelahiran, kecederaan otak boleh berlaku disebabkan
demam panas, hentakan yang kuat pada bahagian kepala akibat kemalangan dan
jangkitan seperti meningitis.
Keturunan
Terdapat banyak kajian menunjukkan, keturunan merupakan
salah satu sebab kepada masalah pembelajaran. Penyelidik mendapati bahawa
kira-kira 30-50% kanak-kanak menghadapi masalah pembelajaran apabila mempunyai
ibu atau bapa atau kedua-duanya menghadapi masalah pembelajaran. Ini
menunjukkan masalah pembelajaran boleh diwarisi daripada keturunannya.
Ketidakseimbangan Biokimia
Ketidakseimbangan biokimia juga boleh menyumbang kepada
masalah pembelajaran. Ketidakseimbangan bahan kimia dikatakan boleh menjadi
punca kepada masalah hiperaktiviti yang boleh mengakibatkan kesukaran memberi
tumpuan ke atas kerja sekolah.
Faktor Persekitaran
Selain kecederaan otak, keturunan dan ketidakseimbangan
biokimia, faktor persekitaran juga boleh menjadi penyebab kepada masalah
pembelajaran. Persekitaran yang serba kekurangan kerana kemiskinan seperti
pemakanan yang tidak seimbang, keadaan rumah yang tidak selesa, persekitaran
yang kotor dan bising, hubungan ibu bapa dengan anak-anak tidak mesra atau
tidak mencukupi boleh menimbulkan masalah pembelajaran di kalangan kanak-kanak.
Terdapat bukti menunjukkan bahawa kanak-kanak bermasalah
yang tidak menerima pengajaran yang sistematik, telah memudaratkan lagi masalah
pembelajaran yang dihadapi. Oleh itu, pengajaran yang sistematik patut
diaturkan untuk semua pelajar bermasalah pembelajaran.
CIRI-CIRI PELAJAR BERMASALAH PEMBELAJARAN
Pelajar bermasalah pembelajaran kebiasaannya lemah dalam
pengamatan termasuklah tumpuan, perhatian, ingatan dan pemikiran atau
pengolahan. Pelajar bermasalah pembelajaran menghadapi kesukaran dalam
mengaitkan pengetahuan sedia ada dengan pengetahuan baru atau sukar
mengaplikasikan pengetahuan tersebut dalam situasi pembelajaran.
Ciri Akademik
Ciri akademik berlaku di kalangan pelajar masalah
pembelajaran dalam masalah membaca, lisan, tulisan dan matematik. Ramai pelajar
masalah pembelajaran menghadapi masalah membaca. Paling nyata ialah kesukaran
memahami apa yang dibaca dan kesukaran mengenal pasti perkataan. Istilah yang
sering dikaitkan dengan masalah membaca ialah disleksia.
Selain membaca, pelajar bermasalah pembelajaran menghadapi
kesukaran dalam lisan seperti fonologi, morfologi, susunan kata dalam ayat
(syntax) dan pragmatik. Pelajar yang lemah dalam lisan gagal memahami perkataan
yang di sampaikan sekaligus sukar melibatkan diri dalam perbualan atau
interaksi dengan kawan dan sebagainya.
Masalah kemahiran menulis di kalangan pelajar bermasalah
pembelajaran ialah kesukaran memegang pen atau penselketika menulis dengan
tangan, menulis huruf yang berlainan saiz, kelemahan dalam mengeja, tidak
menggunakan tatabahasa yang betul, organisasi perenggan yang tidak teratur dan
kurang menggunakan struktur ayat yang kompleks.
Secara umum, pelajar kemahiran menulis pelajar bermasalah
pembelajaran adalah lebih rendah berbanding dengan rakan sebaya mereka yang
normal atau biasa. Bagaimana pun, kemahira menulis pelajar bermasalah
pembelajaran boleh dipertingkatkan jika intervensi awal dilaksanakan dan kaedah
mengajar yang teratur dan sistematik diperkenalkan.
Bidang terakhir di mana pelajar bermasalah pembelajaran
menghadapi kesukaran untuk belajar ialah matematik. Masalah ini juga boleh di
istilahkan sebagai diskalkulia yang merujuk kepada ketidakupayaan dalam
kemahiran matematik. Secara umumnya diskalkulia bermakna ketidakupayaan untuk
mengira. Antara masalah matematik yang berlaku di kalangan pelajar bermasalah
pembelajaran ialah tidak menguasai sepenuhnya dalam pengiraan asas seperti
tambah, tolak, darab dan bahagi. Selain itu, pelajar bermasalah pembelajaran
sukar membuat anggaran dan pengukuran seperti saiz, nilai, wang, jarak atau
cecair.
Ciri Sosial dan Emosi
Memahami ciri sosial dan emosi pelajar bermasalah
pembelajaran adalah sama penting dengan memahami ciri kognitif dan akademik
mereka. Bagaimana pelajar bermasalah pembelajaran melihat diri mereka dan orang
lain serta bagaimana mereka mahir dalam interaksi sosial secara signifikannya
dapat mempengaruhi mereka berjaya dalam pembelajaran. Tambahan pula,kejayaan
mereka dalam hidup bergantung kepada kemampuan mereka berinteraksi dengan orang
lain secara berkesan.
Kemahiran Sosial yang Lemah
Pelajar yang mempunyai kemahiran sosial yang lemah didapati
sukar untuk mencari kawan, diketepikan oleh pelajar lain dan tidak kerap
berinteraksi dengan guru. Mereka kurang mempunyai teman-teman dari kalangan
kanak-kanak biasa disebabkan mereka tidak berupaya untuk mengetahui kenapa dan
bagaimana untuk menjalin serta mengekalkan hubungan. Adakalanya pelajar
bermasalah pembelajaran tidak mempunyai kemahiran untuk menolak tekanan rakan
sebaya yang negatif serta tidak dapat mengenalpasti model rakan sebaya yang
baik untuk ditiru.
Akibatnya, harga-diri (self-esteem) mereka pun rendah yang
mungkin disebabkan dengan kekecewaan usaha mereka berinteraksi dengan orang
lain. Kadang kala hal ini menyebabkan mereka bertingkah laku negatif dan
menyakiti orang lain.
Motivasi
Motivasi merupakan keinginan untuk melibatkan diri dalam
aktiviti. Kebanyakan pelajar bermasalah pembelajaran kurang bermotivasi untuk
belajar. Apabila pelajar bermasalah pembelajaran berjaya dalam peperiksaan,
mereka menganggap sebagai bernasib baik atau ujian senang, tetapi apabila gagal
dalam ujian, mereka menganggap diri mereka bisu (dumb). Keadaan ini menunjukkan
betapa lemahnya motivasi mereka.
Ciri Tingkah Laku
Sebahagian pelajar bermasalah pembelajaran mempunyai masalah
sukar memberi tumpuan, mudah terganggu, terlalu aktif dan resah, tidak mengikut
arahan dan sebagainya. Istilah yang sering digunakan dalam masalah ini di sebut
masalah kurang tumpuan hiperaktiviti (ADHD). Masalah tingkah laku ini akan
mengganggu kelas dan tidak menyenangkan bagi guru, ibu bapa dan pelajar lain.
Masalah tingkah laku ini juga boleh mengganggu hubungan sosial dan memberi
kesan negatif terhadap penilaian kendiri pelajar.
CADANGAN LATIHAN PENDIDIKAN BAGI PELAJAR BERMASALAH
PEMBELAJARAN
Pengajaran secara Langsung
Guru hendaklah mengajar secara langsung menurut urutan yang
tersusun. Guru perlu menggunakan banyak contoh dan ilustrasi untuk menerangkan
sesuatu konsep. Pengajaran hendaklah dibahagikan kepada langkah-langkah kecil
dan disampaikan langkah demi langkah. Guru juga perlu sentiasa memberi maklum
balas sama ada pelajar berjaya menguasai sesuatu butir maklumat.
Aktiviti-aktiviti pembelajaran yang disusun hendaklah menarik dan melibatkan
pelajar untuk mengambil bahagian secara aktif.
Pelajar bermasalah pembelajaran tidak menggunakan strategi
pembelajaran yang berkesan. Strategi pembelajaran didefinisikan sebagai
pendekatan yang digunakan oleh seseorang dalam menghadapi sesuatu tugas
pembelajaran. Ia melibatkan individu itu mengetahui apa yang harus dilakukan,
bagaimana hendak dilakukan dan dapat mengesan sejauh mana dia berjaya
melakukan. Antara strategi pembelajaran yang perlu diajar ialah membuat nota,
menggunakan pengetahuan sedia ada untuk membantu kefahaman, strategi mendengar,
penyelesaian masalah dan sebagainya.
PILIHAN PENEMPATAN PENDIDIKAN
Bilik Darjah Biasa
Pelajar bermasalah pembelajaran dan pelajar biasa di
tempatkan di dalam bilik darjah yang sama. Pendekatan ini memerlukan
perancangan yang teliti, kesediaan guru dan sistem sokongan yang lengkap. Hanya
penempatan pelajar secara fizikal di dalam bilik darjah biasa tidak cukup untuk
memastikan peningkatan pencapaian akademik dan penerimaan sosial pelajar
bermasalah pembelajaran. Guru pendidikan khas akan bekerjasama dengan guru
biasa dalam pengendalian kelas. Guru pendidikan khas dan guru biasa akan
berkongsi tanggungjawab untuk mengajar.
Guru Pendidikan Khas sebagai Penasihat
Guru pendidikan khas sebagai penasihat membantu guru biasa
dengan kaedah mengajar pelajar bermasalah pembelajaran. Dia membantu dalam
penyusunan persekitaran fizikal, menyediakan atau mengadaptasi rancangan
pengajran dan bahan serta membina prosedur penilaian dan pengredan pelajar
bermasalah pembelajaran. Dia juga mengumpul maklumat, membuat pemerhatian dan
mempermudahkan perbincangan tentang pengajaran pelajar bermasalah pembelajaran.
Pengajaran secara langsung dijalankan oleh guru biasa.
Bilik Sumber
Pelajar bermasalah pembelajaran yang ditempatkan di sekolah
biasa akan pergi ke bilik sumber untuk mendapatkan perkhidmatan dan kemudahan
bagi membantu mereka dalam pembelajaran. Contohnya, perkhidmatan penaksiran dan
pengajaran pemulihan disediakan. Bilik sumber membolehkan pelajar bermasalah
pembelajaran mendapat faedah daripada pengajaran yang spesifik, pada masa yang
sama mengekalkan integrasi dengan kawan dan rakan sebaya di sekolah. Guru bilik
sumber mestilah seorang yang mempunyai kecekapan yang tinggi dan dapat
bekerjasama dengan guru biasa, membuat penaksiran pembelajaran dan tingkah
laku, membina pengajaran individu serta bekerja secara efektif dengan ibu bapa
dan keluarga. Program bilik sumber yang ditawarkan harus cukup fleksibel untuk
disesuaikan dengan tahap pembelajaran pelajar.
Bilik Darjah Berasingan
Dalam kelas berasingan, bilangan pelajar bermasalah
pembelajaran adalah kecil (dicadangkan tidak melebihi 8 orang pelajar pada
satu-satu masa). Pelajar dikumpulkan mengikut mereka yang mempunyai masalah
pembelajaran sahajaatau dikumpulkan mengikut mereka yang terdiri daripada
pelajar yang pelbagai jenis kategori ketidakupayaan. Biasanya, pelajar
bermasalah pembelajaran, menghadapi gangguan emosi dan kerencatan mental
ditempatkan dalam satu kelas. Kelas berasingan mempunyai beberapa kelebihan.
Antaranya ialah mereka dapat mewujudkan konsep kendiri yang lebih baik
berbanding pelajar bermasalah pembelajaran yang ditempatkan dalam kelas biasa.
Ini berlaku mungkin kerana persaingan di kelas biasa memerlukan beberapa
kriteria yang tidak dapat dicapai oleh pelajar bermasalah pembelajaran.
Sesetengah pelajar ini juga menunjukkan kemajuan yang lebih di kelas berasingan
berbanding kelas biasa. Kelas berasingan menawarkan keadaan paling berkesan
bagi pelajar bermasalah pembelajaran yang teruk dan serius yang memerlukan
pengajaran yang lebih bertumpu.
KESIMPULAN
Secara kesimpulannya, pelajar bermasalah pembelajaran
menghadapi kesukaran dalam pembelajaran disebabkan oleh faktor psikologi dan
faktor persekitaran. Pelajar bermasalah pembelajaran menghadapi masalah dalam
kognitif, akademik, sosial dan emosi serta tingkah laku.
Penaksiran pelajar bermasalah pembelajaran boleh lakukan
melalui beberapa kaedah seperti RTI yang digunakan untuk mengenalpasti
kewujudan masalah pembelajaran. Selain itu, penaksiran formal dan penaksiran
tidak formal juga boleh digunakan. Terdapat beberapa penempatan yang ditawarkan
serta kaedah pengajaran yang sesuai kepada pelajar bermasalah pembelajaran bagi
memastikan pembelajaran mereka dapat berjalan dengan lancar dan berkesan
No comments:
Post a Comment