Apa itu sindrom Down?
Bayi dengan sindrom Down mempunyai unsur genetik tambahan di
dalam sel mereka. Mereka biasanya mempunyai kromosom tambahan dalam setiap sel,
dan ini boleh menjejaskan keseluruhan bahagian badan.
Kesemua kanak-kanak dengan sindrom Down mempunyai masalah
pembelajaran, tetapi keseriusannya bergantung kepada kanak-kanak itu sendiri.
Pada sesetengah daripada mereka, masalah ini ringan sahaja, tetapi pada yang
lain ia mungkin masalah yang teruk. Mereka juga mempunyai ciri-ciri fizikal
tertentu, namun ia berbeza mengikut individu. Jika bayi anda didiagnos dengan
sindrom Down, dia mungkin mempunyai:
- otot dan sendi yang longgar dan dia mungkin kelihatan lembik;
- satu sahaja garisan pada tapak tangan;
- mata sepet, mulut dan telinga yang kecil;
- bahagian belakang kepala yang leper;
- badan yang lebih kecil dan ringan semasa lahir berbanding bayi lain;
- bentuk badan yang pendek dan gempal.
Mengapakah sesetengah bayi dilahirkan dengan sindrom Down?
Sindrom Down berlaku apabila seorang bayi itu menerima
unsure genetik tambahan daripada ibu bapanya. Dalam kebanyakan kes, sukar untuk
difahami mengapa ia terjadi.
Risiko melahirkan bayi dengan sindrom Down lebih tinggi bagi
wanita yang mengandung pada usia yang lewat. Oleh kerana ini melibatkan profil
genetik, sesetengah keluarga mempunyai risiko yang lebih tinggi, manakala bagi
yang lain pula ia merupakan satu perkara yang berlaku secara rawak.
Bolehkah sindrom Down didiagnos sebelum kelahiran?
Jika umur anda lebih daripada 35 tahun, anda mungkin akan
ditawarkan saringan untuk sindrom Down semasa anda hamil. Saringan ini termasuk
gabungan ujian darah dengan imbasan ultrabunyi (ultrasound).
Ujian-ujian saringan ini tidak dapat memastikan dengan tepat
jika bayi anda mempunyai sindrom Down. Ia hanya boleh memberitahu samada
terdapat risiko tinggi mengalaminya. Baca artikel kami mengenai imbasan untuk
sindrom Down untuk maklumat lanjut.
Jika keputusannya menunjukkan bahawa bayi anda mungkin
mengalami sindorm Down, anda boleh memilih untuk menjalani ujian-ujian lanjut
seperti amniosintesis dan ujian vilus korionik (chorionic villus sampling -
CVS. Ini dilakukan dengan cara memasukkan sebatang jarum halus ke dalam uterus
(rahim) dan mengeluarkan sedikit sel untuk diuji di makmal. Terdapat sedikit
risiko jangkitan atau keguguran dengan ujian-ujian tersebut. Jika doktor
mencadangkan ujian ini dijalankan, beliau perlu menerangkan dengan jelas
tentang risiko dan kebaikan ujian-ujian ini.
Untuk mendiagnos sindrom Down selepas bersalin, doktor
kepada bayi anda akan membuat pemeriksaan fizikal dan menguji darah bayi untuk
mengesan kehadiran kromosom tambahan.
Adakah bayi saya akan mempunyai masalah kesihatan?
Jika bayi anda didiagnos dengan sindrom Down, anda tentu
sekali risau mengenai masa depannya, lebih-lebih lagi kanak-kanak sepertinya
biasanya boleh mengalami masalah kesihatan. Terdapat banyak organisasi yang
memberi sokongan kepada keluarga kanak-kanak sindrom Down yang boleh anda rujuk
(lihat Direktori A-Z Special Needs kami).
Sindrom Down boleh menjejaskan setiap bahagian badan dan
mungkin menjurus kepada:
- masalah dengan pergerakan otot, sendi dan tulang;
- masalah penglihatan dan pendengaran;
- mudah terkena jangkitan;
- masalah penghadaman;
- paru-paru tidak normal;
- kecacatan jantung.
Mereka yang mempunyai sindrom Down juga mempunyai risiko
yang lebih tinggi mendapat leukimia dan masalah lain yang berkaitan dengan
darah.
Penting bagi anak mendapat penjagaan kesihatan yang baik
sepanjang hayatnya supaya sebarang masalah dapat dikesan dan diuruskan dengan
baik. Dia harus kerap dibawa mendapatkan pemeriksaan kesihatan termasuk
ujian-ujian pendengaran dan penglihatan. Anak anda juga perlu mendapat
perhatian daripada mereka yang pakar dalam masalah pembelajaran.
Bagaimana dengan masa depan anak saya?
Semua kanak-kanak sindrom Down mempunyai masalah
pembelajaran. Namun, tahap keseriusannya berbeza bergantung kepada individu
tersebut. Kebanyakan kanak-kanak sindrom Down dapat mencapai tahap perkembangan
seperti belajar berjalan, menggunakan tandas, bercakap, membaca dan menulis,
tetapi mereka mengambil masa untuk melakukannya bergantung kepada kemampuan
sendiri.
Demi memastikan anak anda mencapai potensinya ialah dengan
memastikan dia mendapat penjagaan kesihatan yang baik serta menerima sokongan
yang sepatutnya dari segi sosial dan pendidikan.
Anak anda mungkin memerlukan bantuan tambahan seperti terapi
percakapan, fisioterapi dan pendidikan khas. Seperti mana kanak-kanak lain,
anak sindrom Down perlukan kasih sayang dan perhatian daripada keluarga, dan
dia perlukan sokongan untuk membantu perkembangannya. Sesetengah kanak-kanak
sindrom Down dapat mengikuti pelajaran di sekolah biasa. Individu dewasa dengan
sindrom Down juga dapat hidup dengan sihat dan aktif sehingga melepasi usia 50
tahun.
Di manakah saya boleh mendapatkan bantuan?
Bantuan yang paling dekat ialah pakar kanak-kanak atau
doktor keluarga yang biasa memeriksa anak anda. Anak anda juga mungkin akan
diletakkan di bawah penjagaan kumpulan pakar di hospital atau klinik kerajaan
berdekatan.
Pakar kanak-kanak yang memeriksa anak anda mungkin akan
merujuk anda kepada Yayasan Kiwanis Sindrom Down. Di sini terdapat kelas-kelas
untuk membantu dalam perkembangan dan pembelajaran anak anda. Di Malaysia,
kanak-kanak sindrom Down boleh didaftarkan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat
untuk mendapatkan sumber-sumber dan sokongan tambahan.
Membesarkan anak dengan sindrom Down boleh jadi satu cabaran
besar. Ia mungkin bukan sesuatu yang anda jangkakan. Ada masa-masa yang sukar
dan yang indah juga. Tetapi anda akan dapat banyak sokongan daripada
keluar-ga-keluarga lain yang telah mempunyai pengalaman positif dalam
membesarkan anak-anak sindrom Down mereka.
slide show.............
No comments:
Post a Comment